31 Julai 1998 dalam memori….

Keluarga ceria
Keluarga ceria

Tarikh ini adalah tarikh yang saya dan adik-adik akan ingati sampai bila-bila, kerana pada tahun 1998 emak yang kami sayangi telah kembali  kerahmatullah… Tahun ini genap 11 tahun emak meninggalkan kami dan jika mak masih ada, mesti mak dah lega sekarang sebab semua anak-anak mak dah bekerja. Cucu pun dah masuk 7 orang. Saya masih teringat saat-saat emak menghembuskan nafasnya yang terakhir, saya tiada disisinya. Saya dalam tahun 3 pengajian di Jordan. Seminggu sebelum mak meninggal dunia, saya ada menelefonnya kerana 24 Julai adalah hari jadi saya. Mak tidak banyak berbual seperti kebiasaan. dia hanya bertanya bila saya akan tamat pengajian dan seolah-olah berharap saya pulang pada cuti musim panas yang akan tiba tidak lama lagi. Selalunya pantang sahaja cuti panjang saya akan balik Malaysia. Tapi tahun tersebut saya ingin menyertai rombongan umrah rakan-rakan asrama. Apabila mak berkata “cepat-cepat habiskan pembelajaran tu long…  Mak ni sakit, sekarang dah kurus ni ..” selamba saya mengusik, ” Bagus la mak, kuruskan cantik!”. Mak seperti merajuk apabila saya berkata begitu dan menjawab, ” Haa.. ye la tu… ko balik nanti tengok kubur mak aje la..” Saya ketawa dengan kata-kata mak kerana suaranya agak comel dan menjawab lagi” Alaa… mak ..entah-entah along mati dulu kene pijak-pijak orang arab masa tawaf nanti!”. Mak terus tidak mahu meneruskan kata-kata dan memberikan telefon kepada adik saya dan berbuallah saya dengan adik saya.. Saya memang tahu mak ada penyakit kencing manis. Tetapi mak tak pernah menderita seperti kebanyakan pengidapnya  dan saya tak pernah terfikir penyakit itu merbahaya dan menjadi asbab mak meninggal kerana gula dalam darahnya sudah likat. Pada mulanya menurut kata nyai, mak dibawa ke hospital hanya kerana demam dan cirit birit  serta lemah badan. Abah pada masa mak demam out station manakala adik-adik saya semuanya di asrama. Nyai dan Mak uda datang kerumah menjenguk. Apabila nyai bercerita semula, sebelum mak dibawa kehospital, mak sempat memuji2 nyai…dan berkata pada adiknya (mak cik saya) ” Sayang mak… untung kita ada mak baik macam ni…” sambil mengusap2 peha nyai. Nyai saya hanya diam dan terus menyuapkan bubur ke dalam mulut mak. Sempat juga dia menunjukkan nyai pada satu bungkusan ditepi tv. Tetapi nyai tidak mengendahkannya.  Rupa2nya  bungkusan itu adalah kain batik lepas yang telah mak sediakan.Sekali-sekala emak melihat jam dinding di biliknya. Pada waktu malam demam mak tidak kebah dan nyai dan pak cik saya membawa emak keklinik dan pihak klinik menyarankan emak dibawa ke klinik.
Seminggu selepas saya menelefon emak,  saya di minta oleh rakan untuk telefon Malaysia kerana kakak beliau berpesan semasa beliau telefon kekampung. Dijordan jika kami ingin menggunakan telefon hanya dikedai-kedai arab seperti di wartel. Hari itu adalah hari Jumaat . Saya tidak ada kuliah. Agak pelik , kerana saya telah menghubungi emak. Agak pelik… tetapi tidak menghiraukan perasaan itu. Saya sempat kebalad (pekan) sebelum menelefon Malaysia. Perasaan saya pada pagi itu agak boring. Jiwa saya kosong.. tapi saya tidak tahu mengapa. Apabila saya kekedai menelefon rumah, abah yang menjawabnya. Terkejut , kerana saya tidak pernah berbual dengan abah sepanjang saya belajar. Mak adalah tempat saya bercerita dan minta duit! Abah orangnya tidak banyak berbual tapi kelakar dan kalau dah marah menyeramkan. Apabila abah yang menjawab terpaksalah saya berbual dengannya dulu. Abah terus bertanya, ” Along tak balik ke cuti panjang ni? Saya ketawa kerana abah dah tau perangai saya yang akan minta duit untuk balik bercuti atau berhari raya. Saya hanya berkata tidak kerana mahu pergi umrah bersama rakan-rakan. Saya tidak minat melancong wp itu peluangnya bila merantau kenegara orang. Musim cuti di Jordan kebiasaannya  kawan-kawan saya  akan  melancong,  pergi ke kelas-kelas tafaqquh  ataupun pergi rehlah  ke tempat tempat bersejarah atau berkelah sesama rakan. Saya lebih minat balik rumah, bercuti bersama keluarga sahaja.  Semasa berbicara bersama Abah tiba-tiba beliau  berkata sesuatu yang membuatkan saya ketawa kuat. ” Along, cuti semester ni balik tak? Balik la Long.. abah rindu dengan along…” mungkin abah pada waktu itu sudah tiada modal untuk memberitahu cara terbaik agar saya pulang ke Malaysia tanpa rasa terkejut. Dengan ketawa yang masih berbaki saya mula bermain kata dan membuat alasan tiada duit. Padahal memang selama ni tak pernah saya pulang ke Malysia dengan duit sendiri! Saya mula jual mahal dengan abah. Seronok rasanya dipujuk abah yang garang! Akhirnya saya hanya kata ” tengok la nanti lepas peksa ni, along kabo semula”. Padahal dalam hati saya menjert ” YES!!” Saya meminta abah menghulurkan gagang kepada mak. Abah diam. Saya tanya lagi ” Abah mak mana? Abah hanya berkata ” Mak ada…” Saya tanya lagi , kali ini dengan nada yang agak tinggi. Akhirnya setelah didesak beberapa kali abah meminta saya bersabar.. ” Along, kau kena ingat tau mak along orang  yang baik , mak along isteri solehah , hari ni semua orang doakan dia…” Saya terus berdebar dan berkata dalam hati, ” mesti mak masuk hospital ni…” Saya terus memaksa abah untuk memberitahu hal sebenar dan akhirnya abah mengalah… ” Along, sebenarnya , mak dah meninggal dunia…”. Saya bersendirian dikedai pada waktu itu, Saya rasa badan saya terus menggigil, kepala saya rasa berat dan saya tak dapat menahan mulut saya dari terus menjerit “MAK!!!!!!” Waktu itu, saya menangis dan menangis…. pak arab kedai terus meluru dan bertanya… Limaza anti ya Malizi?? Haram Alaik!!  saya longlai… dan pada masa yang sama berita kematian mak seperti diketahui oleh rakan-rakan yang lain. Rakan-rakan rapat saya rupa-rupanya mendapat berita yang sama dari keluarga masing-masing dan mencari saya pada waktu itu… Saya tidak tahu mahu kemana dan mujur ada sahabat yang menjumpai saya dikedai tempat saya telefon. Pada waktu itu fikiran saya sesak dan saya rasa seperti nyawa saya separuh mati… Saya hanya target mak di hospital sahaja apabila abah seperti berdalih tadi.. Tidak terfikir langsung hingga ketahap meninggal dunia.
Kata-kata terakhir mak terngiang-ngiang kembali dan, saya ingat sampai hari ini… Dirantauan hanya sahabat sahaja penguat jiwa. Keesokan harinya saya pergi kelas peperiksaan dengan hati yang  separuh mati.
Ini kisah saya yang telah kematian emak… mungkin anda masih mempunyai emak dan kisah kita bermacam rupa.. Syukur kini dengan apa yang ada. Abah ada mama yang memberikan kekuatan untuk terus berjuang dan kami adik beradik masing-masing sudah berkeluarga.
Mak, jika mak masih ada, kami adalah anak2 yang sangat bertuah.. Along, cha, Adom dan Taj semuanya mendapat pasangan yang baik2… Adik  Ani pun Insya Allah, akan menamatkan zaman bujangnya. Cucu2 mak semuanya sihat dan kecoh2 belaka! tak sunyi kalau kami berkumpul. Abah pun semakin tenang kini.. Mama memang seorang isteri yang baik . Muka kami dengan mama pun dah macam anak beranak kandung, sebab muka mama macam mak. Moga mak aman dipersemadian sana dan mudah-mudahan Kami dapat jumpa mak di Syurga nanti….

hari raya 2008
hari raya 2008

PRAKTIKAL HAJI 2009…

DSCN5349DSCN5491Pagi-pagi lagi semua warga SMK Taman Universiti sudah siap sedia dengan pakaian solat dan wuduk untuk mengerjakan solat hajat menjelang peperiksaan dan tolak wabak. Semua ustazah pagi dan petang turun padang dan hero kami satu-satunya ustaz yang sedang cuti belajar turut sama menyertai kami. Inilah SMK Taman Universiti… segala tugasan dilaksanakan bersama. Apa yang lebih menarik lagi , guru-guru akademik lain serta barisan pentadbir dan kaunselor turut memberikan sokongan menjadi mutawwif, memberi taklimat pada setiap tempat dan mengawal pelajar. Inilah kelainan yang saya temui disini. Guru yang cenderung mengikuti aktiviti anjuran badan dakwah sekolah dan para pelajar yang minat menyelami ilmu agama dengan lebih mendalam.Tidak dinafikan seperti kebanyakan sekolah harian biasa, lebih-lebih lagi di sebuah daerah yang membangun, masalah sosial adalah cabaran utama. Jika Badan Dakwah sekolah tidak aktif dan memainkan peranan menerobos agenda masyarakat remaja , bilangan mereka yang bermasalah akan lebih ramai.
Praktikal haji tahun ini nampaknya lebih baik dari tahun sebelumnya dan semasa makan tengahari , sempat kami bermuhasabah mengenai strategi penambahbaikan untuk program tahun hadapan. Walaupun hanya dimeja makan , inilah kesempatan yang ada dan sesi muhasabah dan idea penambahbaikkan lebih fresh jika dilakukan segera.
Segalanya berlangsung seperti yang dirancang. Tahun ini kami menambah kelainan dengan menempah rangka khas untuk replika kaabah, sponsor air GAU untuk pelajar dan memainkan audio lagu , intro ibadah haji (semasa pelajar sedang memakai ihram) talbiah dan khutbah arafah. Suasana hajinya agak terasa dan rakan-rakan guru yang pernah mengerjakan haji dan umrah, terkenang-kenang sendiri pengalaman masing-masing. Dan pelajar pula , wp dalam nakal mereka , azam untuk ketanah suci dapat ditanam dalam diri dengan adanya motivasi sebegini.
Bermula dari wukuf hinggalah kepada bercukur, aktvitinya nampak simple , tetapi memberi kesan terhadap kefahaman pelajar tentang apa yang mereka pelajari melalui P&P dalam bentuk teori dan tayangan dalam kelas. Malah bagi guru-guru yang baru sekali menjejakkan kaki ke tanah suci, perasaan untuk pergi  kesekian kali  terus berkobar dengan adanya percambahan informasi praktikal haji ini.
Tahun hadapan, pihak panitia bercadang akan menambah gerak kerja berkumpulan disetiap tempat (Arafah, muzdalifah, mina, mekah) agar pelajar benar-benar faham ibadah disetiap tempat dan eksplorasi ibadah haji ini akan diakhiri dengan kuiz semasa taklimat penggulungan.
Mudah-mudahan usaha ini diberkati dan kebersamaan kami dalam membina generasi yang beriman dan berakhlak mulia akan dipermudahkan Allah Rabbul Jalil…. Amiin…

Apa lagi esok?

Usrati...Habibati..
Usrati...Habibati..

Rutin saya tidak banyak berubah setiap hari. Di sekolah dan dirumah. Walaupun dunianya hanya di dua tempat ini, setiap hari ada sahaja perkara baru yang meningkah. Apabila suami out station, hati saya mula berdebar… kerana secara kebetulan setiap kali suami tiada macam-macam hal akan berlaku … kereta dirempuh lori, anak demam lewat punch card dan pernah satu ketika saya lupa untuk memberikan anak-anak saya duit belanja sekolah! Pagi-pagi lagi Anas dan terhantuk kepala di dinding bilik kerana tersalah langkah semasa ingin bercakap sesuatu dengan saya. `Abir pula tertinggal surat cuti sakit di rumah wp sebelum itu saya telah bertanya 3 kali dirumah sebelum menghantarnya kesekolah. Sahabat saya menegur saya apabila saya bersungut bila tiada suami macam-macam berlaku! Katanya , pemikiran saya yang sebegitu seperti tiada pergantungan dengan Allah.Wah…. nampak laser tapi menyedarkan saya sesuatu….

Cubaan kali kedua!

Anak ke-4
Anak ke-4

Saya mula berblog semula setelah blog pertama saya tidak aktif aktif sekian lama sehingga lupa kanta  kuncinya! Sebagai seorang ibu, guru, isteri, kak long dan anak, setentunya medium ini antara yang  membantu proses saya muhasabah diri dan mendekatkan diri kepada Allah, kerana saya percaya… hidup yang bersifat pinjaman ini memiliki hikmah yang tidak terhingga yang mesti disyukuri  walau apa dugaan melanda.

Bila wanita menjadi ibu, mereka mesti , mahu menjadi ibu mithali.. Bila mereka menjadi isteri, mesti isteri solehah menjadi impian… Bila menjadi anak/ menantu , pasti ada difikiran menjadi  antara yang dibanggakan… bila menjadi kakak, contoh terbaik masti ditunjukkan … dan bila menjadi guru, tak mungkin sanggup membiarkan anak didiknya disisihkan..

Biar tinggi menggunung impian dan hajat dihati, mudah-mudahan segalanya dalam petunjuk dan peliharaan Allah yang Maha Esa..